Friday 28 September 2012

LONTAR PELURU


LONTAR PELURU GAYA LUNGSURAN SELANGKAH

PENGENALAN

          Acara ini memerlukan kekuatan dan kemahiran untuk  melontar peluru dari bulatan kecil.  Lontaran ini hanya boleh dilakukan dengan sebelah tangan sahaja. Balingan dari belakang bahu merupakan teknik yang salah.  Oleh itu sebagai satu acara pertandingan, lontar peluru lebih sesuai bagi pelajar sekolah menengah. Walau bagaimanapun, asas melontar peluru, seperti acara-acara yang lain boleh juga diperkenalkan kepada pelajar sekolah rendah.
                        

SEJARAH

          Mengikut sejarah, aktiviti melontar batu telah dijadikan pertandingan bermula pada abad ke-19. Orang Scotland dan Ireland telah dianggap sebagai golongan pertama yang mencipta acara lontar peluru, berdasarkan pertandingan melontar batu yang mereka lakukan ketika itu. Bagaimanapun, acara lontar peluru tidak dapat diterima sebagai acara sukan di kedua-dua buah negara ini.

         Setelah diperkenalkan di Amerika Syarikat, acara lontar peluru telah mendapat sambutan di beberapa kejohanan sukan olahraga. Sebagai sebuah negara yang mengambil berat tentang kegiatan sukan, Amerika Syarikat telah menganggap kegiatan sukan sebagai sangat menarik, dan akhirnya menjadi acara olahraga yang dipertandingkan.


          Dari sini, bermulalah sejarah baru bagi acara lontar peluru. Pada ketika ini, peluru diperbuat daripada besi seberat 16 paun. Beberapa peraturan yang        berkaitan dengan kawasan lontaran telah dicipta. Pada mulanya kawasan lontaran berbentuk segi empat sama dengan ukuran 7 kaki x 7 kaki. Dengan ini, acara lontar peluru telah diperkenalkan ke negara-negara lain seperti Greek. Acara ini telah diterima untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik moden tahun 1896.

          Malah bentuk kawasan lontaran ini terus digunakan untuk Sukan Olimpik pada tahun 1900 dan 1904. Pada tahun 1909, bentuk kawasan telah ditukar kepada bentuk bulatan yang berdiameter 7 kaki, dengan bahagian hadapan tempat melakukan lontaran diletakkan papan yang seakan-akan penanda, yang terdapat pada kawasan lontaran seperti yang diguna pakai sekarang. Namun begitu, tiada peraturan yang tetap berhubung teknik melontar peluru

PERALATAN

KUMPULAN UMUR
BERAT PELURU
LELAKI
PEREMPUAN
Bawah 18 tahun
5.45 kg
4.0 kg
Bawah 15 tahun
4.55 kg
4.00 kg
Bawah 12 tahun
2.72 kg
2.72 kg

PRINSIP ASAS LONTAR PELURU

          Gaya melontar Parry O’Brien adalah kurang sesuai bagi pelajar sekolah rendah sekiranya mereka tidak mempunyai kaki yang kuat. Di samping itu acara ini terlalu teknikal dan memerlukan koordinasi yang tinggi. Justeru itu adalah memadai sekiranya para pelajar hanya diajar cara berdiri dan melontar dan cara melungsur ke belakang sebagai suatu usaha untuk memenuhi kehendak-kehendak pelajaran Pendidikan Jasmani. Para pelajar seharusnya membina kesedaran bahawa melontar memerlukan pergerakan yang licin dan koordinasi seluruh anggota badan dan bukan setakat menolak dengan tangan sahaja.

FASA- FASA PERGERAKAN

Fasa-fasa atau peringkat pergerakan melontar peluru biasanya terdiri daripada yang berikut:
v  Pegangan peluru
v  Lakuan sedia
v  Lungsuran
v  Kilasan badan
v  Lontaran
v  Pulihan        

CARA MEMEGANG PELURU
Walau apa pun cara atau gaya lontaran yang diamalkan, teknik asas memegang peluru secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua:
v  Teknik memegang peluru dengan tiga jari. Peluru disokong di pangkal ketiga-tiga jari tengah (yang direnggangkan  sedikit) dan ibu jari. Jari kelingking dibengkokkan di sisi peluru.
v  Teknik memegang peluru dengan lima jari. Kelima-lima jari digunakan. Ibu jari dan jari kelingking mengimbangi kedudukan peluru. Teknik ini disyorkan kepada pelajar sekolah rendah.
               
  1.   Pegang dengan tiga jari             
  2.  pegang dengan lima jari
TEKNIK LONTAR PELURU

Teknik atau gaya melontar peluru yang biasa diamalkan ialah:

v  Gaya berdiri dan melontar (tanpa lungsuran)

v  Gaya melungsur selangkah

v  Gaya Parry O’Brien

GAYA MELUNGSUR SELANGKAH

Lakuan sedia
  1. Pelontar berdiri di bahagian belakang bulatan dengan membelakangkan kawasan lontaran.
  2. Selepas menempatkan peluru di tempat yang sepatutnya, bongkokkan badan dengan membengkokkan kaki kanan.
  3. Kaki kiri diibaratkan dalam keadaan selesa (bengkok dan mencecah bahagian tengah bulatan dengan hujung kaki).
  4. Tangan bebas berperanan untuk mengimbangkan kedudukan badan dan ia diletakkan di hadapan badan pelontar dengan sikunya dibengkokkan sedikit.

Lungsuran
  1. Daripada lakuan sedia menolak dengan kaki kiri supaya kaki kanan pelontar dapat membuat lungsuran ke bahagian tengah bulatan.
  2. Lungsuran ini dilakukan secara pantas dan licin.
  3. Berat badan pelontar mestilah masih berada di kaki kanan manakala bahagian badan pula terus dibiarkan membongkok.
  4. Kaki kiri pelontar pula diletakkan di hadapan bulatan.

Kilasan badan
  1. Sebaik sahaja kaki kanan bertapak semula dan proses lungsuran itu tamat, pinggul kanan dipusingkan ke kiri dan ke atas serentak dengan kilasan badan.
  2. Bahu dan tangan kanan (yang memegang peluru) masih menghala ke belakang.

Lontaran
1.    Apabila kilasan badan itu selesai (badan menghadap ke arah lontaran), kaki yang melungsur (kaki kanan yang di belakang) menolak dengan kuat sehingga badan menjadi terangkat dan melentik.
2.    Pergerakan ini hendaklah disusuli dengan pergerakan menolak peluru yang bermula dengan menggunakan bahagian bahu dan diikuti pula dengan tangan yang memegang peluru.
3.    Tangan mengikut peluru sejauh yang boleh dan kaki kiri mestilah digunakan untuk menahan dengan kuat.
4.    Kedua-dua belah kaki mesti bersentuhan dengan tanah semasa peluru dilontarkan.

Pulihan
1.                    Sebaik langkah mengelakkan pelontar daripada kehilangan imbangan dan terjatuh di kawasan hadapan selepas melepaskan peluru, pergerakan pulihan hendaklah dilakukan jika perlu.
2.                    Pergerakan ini merupakan sebahagian daripada pergerakan ikut lajak.
3.    Langkah pulihan ini dilakukan dengan membawa kaki kanan ke hadapan bulatan (belakang papan penahan) dan pada masa yang sama kaki kiri digerakkan ke belakang secara tergantung untuk membantu imbangan badan.

LATIHAN ANSUR MAJU
Latihan 1
  1. Berdiri menghadap ke kawasan lontaran dan melontar peluru dengan tolakan yang kencang (melontar dari kedudukan berdiri)
  2. Latihan ini dapat membiasakan para pelajar menolak peluru dengan baik.


Latihan 2
  1. Berdiri dengan bahu kiri menghadap kawasan lontaran. Kaki direnggangkan.
  2. Putarkan bahu kiri ke kanan sambil merendahkan badan.
  3. Berat badan dipusatkan di kaki kanan yang diletakkan di belakang.
  4. Kilaskan badan ke hadapan dan tolak peluru.

 Latihan 3
  1. Berdiri merusuk ke arah lontaran di bahagian bulatan.
  2. Kaki kiri diletakkan di garis pusat bulatan dan kaki kanan diletakkan berhampiran dengan lingkaran bulatan.
  3. Condongkan badan sedikit. Ketingting ke hadapan bulatan dengan menggunakan kaki kanan dan kaki kiri mestilah bertapak di bahagian belakang papan penahan atau di garis bulatan.
  4. Kilaskan badan dan buat lontaran.
                                   

Latihan 4
  1. Pelontar berdiri dan membelakangkan kawasan lontaran. Badan dicondongkan ke hadapan hingga betul-betul berada di atas kaki kanan.
  2. Kemudian pelontar melungsur selangkah ke belakang. Latihan ini dibuat secara berulang-ulang.
  3. Latihan ini merupakan latihan pergerakan kaki pelontar semasa membuat lungsuran.

Latihan 5

Pelajar digalakkan mencuba pergerakan keseluruhan gaya melungsur selangkah. Latihan ini dapat menyatukan semua fasa lontaran.


PERATURAN ASAS

  1. Peserta hendaklah memulakan lontarannya di dalam bulatan
  2. Peluru mestilah dilontar melalui atas bahu dengan menggunakan sebelah tangan sahaja.
  3. Peserta dibenarkan menyentuh bahagian dalam lengkungan atau papan penahan.
  4. Peserta boleh menghentikan percubaan melontar yang telah dimulakannya dengan meletakkan peluru di dalam bulatan, berdiri tegak semula dan memulakan percubaan yang baru. Gangguan seperti ini dibenarkan sekali sahaja dalam setiap pusingan.
  5. Peluru yang dilontar mestilah mendarat dalam kawasan garis sektor.
  6. Selepas peluru mendarat, peserta dikehendaki keluar dari bulatan melalui bahagian belakang bulatan.





                                       
CARA MENGUKUR JARAK LONTARAN

  1. Jarak lontaran diukur dari kesan peluru di kawasan mendarat sehingga ke bahagian dalam papan penahan atau garis bulatan.
  2. Pangkal pita ukur di tempatkan pada bahagian kesan peluru yang lebih dekat dengan bulatan melontar
  3. Tarik pita ukur  secara lurus sehingga sampai di tandaan di tengah-tengah bulatan melontar
  4. Bahagian pita ukur yang bertemu dengan bahagian dalam papan penanda akan menunjukkan jarak lontaran itu.




 PERINGKAT PEMBELAJARAN KEMAHIRAN MOTOR

Tahap Pemerolehan Kemahiran Motor

          Kemahiran motor didefinisikan sebagai keupayaan mencapai objektif sesuatu pergerakan dengan usaha yang minimum. Kejayaan mencapai objektif juga dapat dilakukan dengan konsisten. Setiap proses pembelajaran sesuatu kemahiran motor akan melalui pelbagai peringkat tertentu. Terdapat beberapa model yang dikemukakan bagi menggambarkan peringkat pencapaian sesuatu kemahiran motor. Model yang agak mudah difahami adalah model yang dikemukakan oleh Fitts & Posner (1957). Berdasarkan model Fitts & Posner, tahap pencapaian kemahiran motor adalah tahap kognitif lisan, tahap asosiatif dan tahap autonomi.

(i) Tahap Kognitif Lisan

          Tahap ini merupakan peringkat permulaan atau peringkat paling rendah dalam proses pembelajaran sesuatu kemahiran motor. Pada tahap ini, pelajar memerlukan arahan yang jelas bagi melakukan kemahiran yang terlibat. Istilah lisan merujuk kepada arahan yang disampaikan oleh jurulatih atau pengajar. Istilah kognitif pula merujuk pada  tafsiran pelajar mengenai maksud arahan yang diterima daripada jurulatih atau pengajar tadi.

          Pada peringkat ini, pelajar masih dalam proses menguasai kemahiran asas yang terlibat. Sebagai contoh, dalam permainan tenis, pelajar di peringkat ini sedang dalam proses menyesuaikan teknik mencekak raket dengan tahap keselesaan masing-masing. Pelajar juga berada diperingkat mengenal fasa-fasa melakukan pukulan asas.




(ii) Tahap Asosiatif
 
          Tahap ini merupakan peringkat pertengahan dalam proses pembelajaran kemahiran motor. Pada tahap ini, pelajar telah menguasai semua kemahiran asas yang diperlukan dan mereka berada di peringkat menentukan strategi yang terbaik untuk melaksanakan kemahiran tersebut. Sebagai contoh, dalam permainan tenis, sekiranya mendapat hantaran separuh gelanggang, pemain yang berada di tahap ini akan menghadapi persoalan sama ada untuk membuat hantaran balas defensif ataupun ofensif. Perkara penting di tahap ini adalah pelajar tidak memerlukan arahan jurulatih dan sudah mempunyai kemampuan untuk melakukan pembelajaran kendiri (self-learning).

(iii) Tahap Autonomi

          Tahap ini merupakan peringkat tertinggi dalam proses pemerolehan kemahiran motor. Pada peringkat ini, pergerakan kemahiran dihasilkan seolah-olah secara automatik. Pelajar sudah menguasai semua kemahiran asas yang diperlukan. Atlit-atlit yang bertanding di sukan peringkat tinggi seperti sukan olimpik ataupun kejohanan di peringkat kebangsaan seperti SUKMA, liga bola sepak FAM dan sebagainya boleh dianggap telah mencapai tahap kemahiran autonomi.



 PEMBOLEHUBAH YANG MEMPENGARUHI TAHAP KEMAHIRAN MOTOR

          Peningkatan kemahiran motor dari tahap kognitif lisan ke tahap autonomi
dipengaruhi oleh dua pembolehubah utama iaitu pembolehubah praktis dan
maklumbalas.

Praktis

          Praktis didefinisikan sebagai aktiviti yang dilakukan dengan kadar ulangan yang tinggi. Tanpa praktis pembelajaran kemahiran motor tidak akan berlaku. Usaha merancang praktis bagi pembelajaran kemahiran motor perlu mempertimbangkan aspek-aspek berikut iaitu jenis praktis, kaedah praktis dan taburan praktis.

(a) Kaedah Praktis

          Umumnya, kaedah praktis yang diaplikasi adalah secara fizikal dan mental. Praktis fizikal merupakan kaedah praktis yang lazim dijalankan dalam sesi-sesi pembelajaran motor, iaitu pelajar perlu melaksanakan program praktis yang telah dirancang secara nyata. Perlakuan yang dihasilkan dapat dilihat dan diperbaiki. Praktis fizikal adalah kaedah praktis yang utama dalam sesuatu sesi pembelajaran kemahiran motor. Praktis mental pula merupakan praktis pelengkap kepada kaedah praktis fizikal. Praktis mental tidak melibatkan perlakuan fizikal yang nyata. Perlakuan-perlakuan fizikal yang
hendak dilakukan direalisasikan dalam bentuk imageri.





(b) Taburan Praktis

          Taburan praktis merujuk kepada jangkamasa pelaksanaan sesuatu sesi praktis. Terdapat dua jenis taburan praktis iaitu taburan massa dan taburan agihan. Taburan praktis massa ialah jenis taburan praktis di mana pelaksanaannya memakan masa yang lama dengan kadar rehat yang sedikit. Sebagai contoh, sekiranya satu sesi praktis mengambil masa selama 2 jam dan jurulatih membenarkan rehat selama 5 minit selepas jam pertama (iaitu sekali rehat sepanjang praktis), taburan masa aktiviti  selepas rehat menggambarkan praktis massa. Taburan praktis agihan merujuk kepada jenis taburan praktis di mana pelaksanaannya melibatkan masa rehat yang kerap sepanjang sesi praktis. Contohnya sekiranya satu sesi praktis mengambil masa selama 2 jam dan jurulatih membenarkan rehat selama 5 minit selepas setiap 20 minit (iaitu enam kali rehat sepanjang praktis), taburan masa aktiviti-rehat menggambarkan keadaan praktis taburan.


 Maklumbalas

          Keberkesanan praktis yang dijalankan bagi pembelajaran kemahiran motor adalah dipengaruhi oleh maklum balas yang diterima. (Perbincangan mengenai peranan maklumbalas dalam pembelajaran motor adalah fokus kepada jenis maklum balas serta teknik menyampaikannya kepada pelajar).

          Jenis maklum balas Maklum balas yang wujud dalam pembelajaran motor adalah maklum balas intrinsik dan ekstrinsik. Maklum balas dalaman adalah maklum balas yang diperolehi daripada sumber deria dan dialami sendiri oleh pelajar. Contoh maklum balas intrinsik adalah rasa sakit atau selesa. Maklum balas ekstrinsik merupakan maklum balas tambahan daripada sumber luaran seperti arahan jurulatih atau tayangan video.

          Teknik penyampaian maklum balas ekstrinsik Teknik penyampaian maklum balas ekstrinsik perlu mempertimbangkan dua aspek iaitu jenis maklumat yang perlu disampaikan dan cara maklum balas tadi boleh disampaikan. Jenis maklumat yang hendak disampaikan berguna dan sesuai dengan tahap kemahiran pelajar. Maksudnya, sekiranya maklumbalas bertujuan untuk membetulkan pergerakan yang salah, jurulatih mesti memastikan pelajar tadi mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk  melakukan pergerakan yang “betul”. Cara maklum balas tadi hendak disampaikan pula, bergantung kepada perbezaan kapasiti untuk memproses maklumat daripada maklum balas tersebut, dan perbezaan tahap kemahiran motor yang mungkin wujud antara pelajar yang mempelajari kemahiran yang sama


 REFLEKSI ACARA LONTAR PELURU

          Acara lontar peluru merupakan acara yang begitu teknikal. Ia memerlukan kemahiran motor yang tinggi untuk membuat gerakan yang sempurna. Untuk menguasai kemahiran dalam lontar peluru memerlukan masa yang agak lama. Guru atau jurulatih perlu mengajar mengikut fasa-fasa. Pembetulan harus segera dilakukan sekiranya jurulatih atau guru dapat mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar. Ini adalah bagi mengelakkan kesalahan yang dibuat berkenaan menjadi kukuh dan dianggap betul oleh pelajar. Sekiranya pembetulan lambat dilakukan dan pelajar telah menggunakan kesalahan berkenaan tersebut maka adalah menjadi kesukaran untuk mengubahnya atau memperbetulkannya.

          Untuk mengajar lontar peluru guru atau jurulatih perlu memulakannya dengan warm up yang berkaitan dengan acara ini. Warm up boleh dimulakan dengan warm up secara  umum seperti joging kemudian diikuti dengan wam up spesifik. Warm up spesifik bermaksud warm up yang berkaitan dengan kemahiran yang hendak diajar. Dalam acara lontar peluru kita mestilah banyak membuat regangan dan drill di bahagian tangan. Otot-otot yang terlibat seperti bisep, trisep dan deltoid mesti diberi tumpuan. Ini adalah bagi membolehkan pelajar dapat mengadaptasikan diri untuk acara tersebut.

           Setelah pelajar mengalami proses adaptasi, ianya akan memudahkan jurulatih mengajar kemahiran- kemahiran yang berkaitan. Pelajar lebih mudah mengaplikasikan setiap langkah yang diajar sekiranya jurulatih mengajar secara beransur maju. Pengalaman pertama dalam menerima pembelajaran adalah penting kerana ianya akan lebih mudah diingat dan kukuh di minda pelajar. Input yang salah akan menyukarkan jurulatih untuk memperbetulkan kesalahan.

          Untuk mengajar acara lontar peluru faktor yang perlu dititikberatkan ialah faktor keselamatan. Ini adalah kerana acara ini merupakan acara yang boleh mendatangkan kecederaan serius jika faktor keselamatan diabaikan. Apabila murid sudah memahami perkara-perkara yang penting demi menjaga keselamatan diri barulah kemahiran yang pertama boleh diajar.

          Perkara asas yang pertama boleh diajar ialah cara memegang. Selepas murid mengetahui cara memegang ialah aksi bersedia. Di sini murid perlu memahami bahawa peluru perlu ditolak bukan dibaling. Latihtubi aksi menolak samada secara bersendirian atau berpasangan perlu dilakukan beberapa kali. Setelah kemahiran berkenaan dikuasai bolehlah beralih ke kemahiran seterusnya iaitu lungsuran selangkah. Kemudian guru bolehlah mengajar cara ambil lajak, iaitu dengan cara merendahkan badan, lutut bengkok dan pergerakan laju. Setelah kemahiran berkenaan dikuasai barulah guru boleh mengajar kemahiran yang terakhir iaitu ikut lajak. Guru perlu menerangkan pergerakan yang laju akan membantu jarak lontaran. Setelah kemahiran acara lontaran selesai guru perlu menjelaskan mengenai peraturan, agar murid tidak melakukan kesalahan mudah yang boleh merugikan

          Dalam proses menyiapkan tugasan kali ini adalah lebih mencabar. Kami telah kembali ke kampung halaman masing- masing. Oleh hal yang demikian, jarak merupakan halangan untuk kami berbincang. Kecanggihan peralatan ICT pada masa kini membolehkan kami masih boleh berhubung secara online samada melalui email, laman sembang serta sms. Setiap ahli kumpulan telah memainkan peranan masing- masing dalam menyumbangkan idea yang bernas untuk menjadi intipati dalam tugasan ini.

       

          Kejohanan sukan peringkat sekolah dan daerah yang sedang rancak berlangsung juga menjadi sumber idea bagi menjadikan tugasan kali ini lebih bermakna. Adalah diharapkan agar hasil tugasan kali ini dapat mencapai objektif dan tahap yang diinginkan oleh pihak IPGM dan pensyarah pembimbing.



 RUJUKAN

Idris bin Mohamad, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 1, Dewan       Bahasa dan Pustaka, 2002

Buku Sumber Sains Sukan Tingkatan 5, Pusat perkembangan Kurikulum, Edisi Julai 2002

Pertumbuhan dan Perkembangan  Pembelajaran Motor   Untuk PISMP-IPGM Ambilan 2009, IPGM Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah Darul Aman, 2010

Tan Kiat Keong HBPE Pembelajaran Motor Open University Malaysia, 2009

Kursus Kejurulatihan Asas Olahraga, Majlis Sukan Negara Malaysia, 2000









1 comment:

  1. Tahniah cikgu, satu post yang lengkap dan berguna.

    ReplyDelete