Friday 6 July 2012

DASAR 1M 1S 1MALAYSIA



PENGENALAN
Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberi penekanan kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.

 Dasar ini memberi perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS). Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan “Minda Yang Cerdas Terletak Pada Tubuh Yang Sihat”. Dalam konteks ini, bidang sukan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara.

Justeru, pelbagai aktiviti sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid-murid agar mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan Dasar 1M 1S agar setiap murid menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik.

 
Rasional
Dasar 1M 1S mendokong Dasar Sukan Untuk Semua, di mana dasar ini menitikberatkan penglibatan semua murid dalam pelbagai aktiviti dan peringkat sukan. Dasar ini dibentuk atas rasional segala kegiatan sukan adalah sebahagian daripada transformasi pendidikan yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sukan seharusnya mendapat pengiktirafan, sokongan dan galakan yang sama sebagaimana juga yang diberikan kepada aspek-aspek yang lain seperti mata pelajaran akademik dan kegiatan kokurikulum supaya dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi kesejahteraan minda dan jasmani.

Dasar ini juga menyumbang kepada penggalakan pertandingan yang sihat, semangat muhibah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai moral dan fizikal yang memberi satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cintakan negara.
Dasar 1M 1S dapat memberi peluang secara menyeluruh kepada semua murid melibatkan diri dalam sukan secara lebih terurus dan terancang serta mengimbangkan fokus atau penekanan dalam melahirkan modal insan secara holistik ke arah  pembinaan masyarakat Malaysia yang berdaya saing tinggi.

Matlamat
Dalam jangka masa panjang, dasar ini berhasrat membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan berdaya saing tinggi.

Objektif
Dasar 1M 1S menggariskan objektif jangka panjang dan jangka pendek seperti berikut:
6.1 Meningkatkan kecergasan jasmani;
6.2 Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni;
6.3 Memupuk perpaduan di antara kaum;
6.4 Membentuk budaya sukan di kalangan murid;
6.5 Memenuhi naluri semulajadi murid agar aktif dari segi fizikal;
6.6 Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan
6.7 Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.


No comments:

Post a Comment