Monday 19 September 2011

Pengajaran Simulasi


DEFINISI
Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. Teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.

Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.

Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.

TUJUAN TEKNIK
    1. Menarik Minat murid
    2. Mengekalkan perhatian
    3. Membangkitkan ras ingin tahu




TEKNIK SIMULASI
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat simulasi ialah perbuatan yang berasaskan atau menggunakan sesuatu yang direka atau dibuat-buat tetapi yang mirip kepada atau hampir dengan yang sebenarnya

Simulasi ditakrifkan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula.

Melalui teknik ini para pelajar dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temuramah dengan individu tertentu dan mencatat isi-isi penting. Dalam proses ini pelajar digalakan untuk memberi pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi dan masalah.

Melalui teknik ini pelbagai kemahiran dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran lisan membaca dan menulis. Dapat menwujudkan pelabagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran.

Secara umumnya simulasi menggabungkan maklumat mengenai satu-satu kemahiran melalui demonstrasi, praktis dan latihan khusus sehingga kemahiran tersebut berjaya dikuasai. Simulasi dibentuk melalui perihalan situasi sebenar di mana kita cuba mewujudkan satu situasi yang mirip kepada situasi yang sebenar dalam sesi pengajaran. Dalam erti kata yang lain murid akan mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut sehingga mencapai matlamat pengajaran dan hasil pembelajaran yang telah ditentukan.





No comments:

Post a Comment