Tuesday, 2 August 2011

Lima Kunci Makanan Yang Selamat

Definisi
          Makanan yang selamat ialah makanan yang bebas dari pencemaran. Penyediaan makanan yang selamat adalah penting untuk mencegah keracunan makanan. Oleh hal yang demikian kebersihan  sebelum, semasa dan selepas mengendalikan makanan adalah amat penting diberi perhatian. Lima kunci makanan yang selamat adalah seperti berikut:

1.Kekalkan Kebersihan
          Basuh tangan sebelum menguruskan makanan. Ini adalah amat penting supaya makanan tidak tercemar oleh kuman dan bakteria yang berbahaya kepada kesihatan kita. Jika perlu tangan hendaklah dibasuh setiap kali menguruskan jenis makanan yang berbeza. Tangan juga perlu dibasuh dengan sabun selepas menggunakan tandas. Kelengkapan memasak juga perlu dijaga kebersihannya. Jika perlu hendaklah disterilkan. Kawasan dapur hendaklah dilindungi dari serangga dan haiwan seperti tikus. Ini adalah untuk memastikan haiwan berkenaan tidak mencemarkan makanan yang kita simpan atau letak di atas dapur.

 2.Asingkan Makanan Mentah dan Bahan Yang Dimasak
          Bahan makanan yang telah dimasak hendaklah diasingkan dengan bahan makanan yang mentah. Ini adalah kerana bahan mentah boleh mencemarkan bahan makanan yang telah dimasak Alat perkakas seperti pisau, papan pemotong yang digunakan untuk bahan-bahan mentah. Makanan yang telah dimasak hendaklah disimpan pada bekas yang bertutup bagi mengelakkan pencemaran. Pengasingan ini juga melibatkan semasa penyimpanan makanan di dala peti sejuk. Penggunaan bekas makanan yang sesuai adalah amat penting untuk memastikan kebersihan makanan terjamin.

3.Masak Dengan Cara Yang Betul
          Makanan seperti ayam, daging, makanan laut dan telur mestilah dimasak dengan cara yang betul dan sempurna supaya makanan ini tidak mudah tercemar atau rosak. Makanan seperti sup dan makanan laut hendaklah dibiarkan mendidih sehingga 70 darjah celcius. Ini adalah untuk memastikan kuman atau bakteria dapat dimatikan pada suhu tersebut.  Memasak makanan terlalu lama hendaklah dielakkan. Ini adalah kerana akan menyebabkan kehilangan nutrien dan vitamin yang terdapat pada makanan.

4.Simpan Makanan Pada Suhu Yang Sesuai
          Makanan yang telah dimasak tidak boleh dibiarkan terdedah pada suhu bilik melebihi 2 jam. Makanan yang telah dimasak hendaklah dibekukan pada suhu 5 darjah Celcius. Ini adalah untuk memastikan makanan tersebut tidak rosak atau tercemar serta selamat dimakan selepas dipanaskan. Makanan yang dihidangkan juga hendaklah masih panas semasa dihidangkan lebih kurang 68 darjah Celcius semasa makanan tersebut dihidangkan. Makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak digalakkan disimpan terlalu lama. Begitu juga makanan yang telah dimasak tidak boleh dinyah beku pada suhu bilik kerana akan menyebabkan makanan tersebut tercemar.
 
5.Gunakan Air dan Bahan Mentah Yang Selamat
          Air yang digunakan untuk memasak dan diminum hendaklah air yang selamat digunakan atau air yang telah dirawat. Adalah digalakkan menggunakan penapis air. Penggunaan penapis air membantu kita mengelakkan minum air yang kurang bersih terutamanya jika kita tinggal di kawasan yang mempunyai kualiti air yang kurang baik.

           Makanan mentah seperti buah dan sayur hendaklah dipilih dari bahan-bahan segar yang kaya dengan vitamin dan nutrien. Pilih makanan yang diproses dengan betul dan selamat untuk dimakan. Contohnya susu yang telah disterilkan. Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum di makan. Ini adalah untuk memastikan makanan tersebut selamat untuk dimakan. Kita hendaklah mengelakkan makan makanan yang telah lupus tarikh. Makanan yang telah lupus tarikh adalah tidak selamat untuk dimakan.

No comments:

Post a Comment