Tuesday 2 August 2011

Lima Kunci Diet Yang Sihat


Definisi
          Menurut Hill, Oliver dan Rogers (1992) diet merupakan pemakanan yang sesuai bagi mengurangkan bahagian yang tidak diingini dari badan mereka, menjadikan mereka lebih ramping, sepatutnya dan lebih sihat. Nutrien yang diambil perlu mengikut hiraki keperluan makanan seperti Karbohidrat, Vitamin, Protein dan lemak. Nutrien adalah bahan kimia yang penting dalam makanan untuk kegunaan tubuh badan manusia.
Listen
Read phonetically

1.Penyusuan Bayi
          Bayi hendaklah diberi susu yang secukupnya terutamanya dalam tempoh usia 0 hingga 6 bulan. Ini adalah kerana susu ibu mempunyai nutrien yang lengkap yang diperlukan oleh seorang bayi. Susu perlu diberi kepada bayi pada bila-bila masa selagi bayi tersebut berkehendakannya. Pemberian susu ibu pada peringkat awal akan mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan bayi tersebut.


          Keperluan kalori bayi adalah sedikit berbanding orang dewasa. Walau bagaimanapun bayi juga memerlukan nutrien yang mencukupi untuk kekal sihat. Keperluan makanan adalah berbeza kerana bayi mempunyai sistem penghadaman yang lebih kecil. Oleh itu nutrien terbaik untuk bayi adalah susu terutamanya susu ibu.

2.Makan Pelbagai Jenis Makanan
          Kita digalakkan makan pelbagai jenis makanan secara seimbang dan terkawal. Pengambilan makanan seimbang adalah amat penting untuk memastikan kita kekal sihat. Kita digalakkan makan makanan yang mengandungi karbohidrat dalam kuantiti yang banyak tapi terkawal. Makanan jenis ini akan memberi tenaga kepada kita untuk melakukan aktiviti seharian. Kurangkan sedikit pengambilannya jika aktiviti seharian kita kurang menggunakan tenaga seperti bekerja di pejabat. Bagi makanan yang mengandungi zat protein pula hendaklah diambil dalam kuantiti yang sederhana.

          Makanan jenis ini membantu tumbesaran bagi kanak-kanak serta pembinaan otot. Makanan yang mengandungi vitamin dan berserat boleh diambil untuk membekalkan vitamin kepada tubuh dan melawaskan sistem perkumuhan. Makanan yang berlemak hendaklah diambil dalam jumlah yang sedikit. Pengambilan lemak yang berlebihan akan memudaratkan tubuh badan. Pengetahuan tentang piramid makanan adalah penting untuk penyediaan makanan seharian kita. Pengambilan pelbagai jenis makanan juga boleh memberi pilihan dan mengelakkan kebosanan tetapi pengambilannya hendaklah seimbang dan sesuai dengan gaya hidup kita.

          Makanan memberi kita tenaga dan zat-zat lain yang diperlukan untuk pertumbuhan, bergerak, bekerja, bermain, berfikir dan belajar. Tidak ada satu makanan pun yang mampu membekalkan kesemua zat yang diperlukan. Cara terbaik adalah makan pelbagai jenis makanan. Kepelbagaian boleh dicapai dengan menggabungkan kesemua kumpulan makanan dalam piramid makanan. Prinsip kesederhanaan perlu diutamakan untuk mengelakkan terlalu banyak makan dari sejenis kumpulan makanan.

 3.Banyakkan Makan Sayur dan Buah-buahan
          Kita digalakkan makan sayur dan buah-buahan dalam  kuantiti yang banyak sekurang-kurangnya 400g sehari. Sayuran dan buahan boleh dijadikan snek bagi menggantikan snek yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi. Sayuran tidak boleh dimasak terlalu lama kerana akan menyebabkan kemusnahan vitamin penting yang diperlukan oleh tubuh yang terdapat dalam sayuran tersebut. Sayuran atau buahan yang ditinkan boleh diambil tetapi pilih daripada yang tidak ditambah gula dan garam serta bahan pengawet.

          Kebaikan makan sayur tidak terhingga banyaknya. Antaranya ialah ia rendah lemak, kalori dan nutrien serta tidak mengandungi kolesterol. Selain itu, sayur-sayuran juga mempunyai vitamin, mineral, serat dan bahan bio aktif. Setiap jenis sayuran mempunyai pakej nutrien yang tersendiri. Maka setiap jenis sayur berbeza dari segi jumlah nutrien yang dibekalkan. Vitamin dan mineral dalam sayuran membantu dalam tumbesaran dan perkembangan serta membantu menjaga kesihatan secara keseluruhannya. Jika kita kekurangan vitamin kita akan mudah diserang penyakit. Serat yang terdapat dalam sayuran membantu membina sistem penghadaman yang sihat dan sembelit di kalangan kanak-kanak.

4.Makanan berlemak dan berminyak dalam kadar yang sederhana
          Makanan yang berlemak dan berminyak hendaklah diambil dalam kadar yang sederhana. Pengambilan makanan yang berlemak dan berminyak memerlukan gaya hidup yang aktif. Bagi bukan atlet pengambilan apa jua jenis makanan hendaklah seimbang atau dalam kadar yang sederhana. Gunakan minyak sayuran seperti minyak zaitun, soya bunga matahari dan jagung. Penggunaan lemak haiwan dan lemak tepu hendaklah dielakkan seperti minyak kelapa dan minyak kelapa sawit. Pilih daging putih seperti ayam dan ikan yang secara amnya rendah lemak berbanding daging merah. Pengambilan daging atau makanan yang diproses yang mengandungi kandungan lemak dan garam yang tinggi hendaklah dielakkan. Makanan yang diproses dan diberikan perasa tiruan iaitu MSG hendaklah dielakkan.        

          Lemak bukan sahaja membekalkan sumber tenaga, tetapi pada masa yang sama memberi rasa kepada makanan kita. Bagaimanapun pengambilan makanan berlemak yang tidak terkawal akan menyebabkan masalah kesihatan. Lemak bukanlah pembekal bahan bakar yang baik. Tetapi merupakan sumber tenaga untuk fungsi seharian.


5.Pengambilan Gula dan Garam
          Pengambilan gula dan garam dalam makanan hendaklah dikurangkan atau dalam kadar yang perlu sahaja. Gula memudaratkan kesihatan. Gula penyebab pelbagai penyakit kronik. Ini antara perkara negatif yang dikaitkan dengan gula. Sir Frederick Banting (1929), individu yang menemui insulin iaitu hormon utama mengawal metabolisme glukos dalam tubuh manusia mendapati, diabetes adalah penyakit lazim di kalangan pemilik ladang tebu di Panama. Pengambilan gula yang berlebihan menjadi salah satu faktor penyakit diabetis.
          WHO (2003) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.  Pengambilan tenaga harian yang berlebihan dalam jangkamasa yang panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III (2006) mendapati 29.1% orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan 14.0% pula obes. Obesiti dan berlebihan berat badan meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung. Prevalens diabetes juga telah meningkat daripada 6.3% pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9% pada tahun 2006 (NHMS III). Seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari serta beberapa jenis kanser. Gula juga adalah penyebab utama karies gigi (dental caries).

           Begitu juga dengan pengambilan garam yang berlebihan menjadi salah satu punca penyakit tekanan darah tinggi. Garam merupakan elektrolit yang penting yang membatu mengawal tekanan darah. Sikap sederhana perlu ada dalam diri semua individu kerana sikap ini akan membantu kita sentiasa dalam keadaan sihat dari fizikal dan mental. Ini adalah kerana kebanyakan penyakit pada masa kini adalah berpunca dari pengambilan makanan yang tidak terkawal. Garam merupakan nutrien penting kepada tubuh manusia.. Ia berfungsi di dalam keseimbangan cecair tubuh, tekanan osmotik, keseimbangan asid-bes serta aktiviti elektrofisiologi otot dan sistem saraf

          Garam merupakan bahan yang diperlukan di dalam diet dan fungsinya di dalam tubuh adalah penting. Natrium klorida adalah bahan kimia yang diberikan untuk garam biasa dan merupakan elemen yang berpotensi untuk memudaratkan kesihatan jika diambil terlalu banyak. Fungsi utama nutrien di dalam tubuh adalah untuk mengekalkan keseimbangan cecair tubuh terutamanya untuk keseimbangan osmosis dan pergerakan cecair sel (Stare dan McWilliams, 1990; Gibson et al. 2000).

No comments:

Post a Comment