Tuesday 2 August 2011

Aktiviti Fizikal


Definisi
Aktiviti fizikal bermaksud semua pergerakan tubuh badan yang menggunakan tenaga. Ini termasuk semua pergerakan badan seperti duduk, bangun, berjalan, berlari, melompat, mendaki dan lain-lain aktiviti rekreasi
        
Kebaikan Aktiviti Fizikal

Aktiviti fizikal boleh meningkatkan kecergasan jantung, paru-paru dan memperbaiki sistem edaran darah. Ia juga meningkatkan kecekapan pergerakan dan fleksibeliti badan. Memperbaiki tonus dan postur tubuh badan. Menambah kekuatan dan daya tahan otot. Membantu mengawal berat badan dengan lebih baik dan mencegah kegemukan. Aktiviti fizikal yang dilakukan secara berterusan akan meningkatkan sistem fisiologi tubuh badan. Keupayaan respiratori akan meningkat di samping itu juga tahap kekuatan otot, kuasa, kecergasan, ketangkasan dan kordinasi akan bertambah baik. Lima kunci kepada melakukan aktiviti fizikal ialah:

1.Tiada Istilah Terlewat
          Dalam melakukan aktiviti fizikal tiada istilah terlewat atau terlambat. Jika sebelumnya tidak pernah melakukan aktiviti fizikal boleh bermula dari sekarang. Aktiviti fizikal hendaklah bersesuaian dengan keupayaan individu. Elakkan melakukan aktiviti fizikal yang terlalu membebankan dan boleh mendatangkan kecederaan. Aktiviti seperti berjalan pantas pun sudah memadai asalkan dilakukan secara berterusan. Kurangkan aktiviti seperti menonton televisyen dan bermain komputer yang hanya melibatkan duduk yang tidak bermanafaat kepada kesihatan tubuh badan.

          Aktiviti fizikal perlu dilakukan mengikut kemampuan individu itu sendiri. Aktiviti fizikal untuk kesihatan bukan semestinya bersukan atau berjoging, tetapi ia adalah lebih luas dan mempunyai banyak pilihan. Individu yang tidak berupaya untuk bersukan boleh memilih aktiviti seperti berjalan, berkebun, mencabut rumput, menyapu sampah, melakukan kerja rumah dan sebagainya. Itulah sebabnya dikatakan bahawa tiada istilah terlewat dalam melakukan aktiviti fizikal kerana aktiviti fizikal tidak terbatas asalkan yang melibatkan pergerakan dan dilakukan secara berkala serta mengikut kemampuan diri ianya pasti akan mendatangkan kesan positif terhadap kesihatan tubuh kita.

 2.Kekerapan Aktiviti
           Aktiviti fizikal hendaklah dilakukan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya 30 minit setiap aktiviti sebanyak tiga kali seminggu. Aktiviti fizikal haruslah dijadikan sebahagian aktiviti kehidupan. Kekerapan latihan akan menjamin peningkatan kecergasan fizikal kita. Bagaimanapun ia haruslah bersesuaian dengan latihan yang dilakukan. Latihan yang mempunyai intensiti rendah dan dilakukan dalam jangka masa yang pendek akan menghasilkan tahap kecergasan yang rendah.

          Kekerapan aktiviti akan membolehkan kita melihat kesan senaman terhadap diri seseorang. Kekerapan senaman akan membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan kardiovaskular seseorang. Individu yang cergas akan lebih berkeyakinan dalam melakukan tugasan yang diberikan. Kecergasan juga membolehkan seseorang itu melakukan sesuatu kerja tanpa rasa letih dalam tempoh yang lama. Ini membolehkan peningkatan produktiviti dan mutu kerja.

3.Tempoh Masa
          Tempoh masa sesuatu aktiviti fizikal juga adalah amat penting. Sesuatu aktiviti fizikal perlu dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap aktiviti bagi mendapat hasil yang optimum. Jadikan aktiviti fizikal sebagai rutin harian. Buatlah janji temu dengan rakan untuk melakukan aktiviti fizikal bersama-sama bagi mengelakkan kebosanan. Tempoh masa yang terlalu lama mungkin akan mendatangkan kecederaan manakala tempoh masa yang terlalu pendek tidak mendatangkan apa-apa kesan positif.

          Tempoh masa latihan bergantung rapat dengan intensiti aktiviti latihan. Untuk menaikkan kadar nadi ke tahap 75% daripada 0% (kadar nadi rehat) semasa melakukan aktiviti latihan dalam jarak masa dari 30 minit adalah cukup bagi menghasilkan kecergasan yang signifikan. Pada peringkat permulaan latihan hendaklah dihadkan dalam lingkungan 50% kadar nadi latihan dan tempuh latihan diturunkan 15 ke 20 minit sahaja. Ketika ini tubuh badan kita belum bersedia untuk menerima bebanan yang tinggi. Setelah beberapa minggu berlatih barulah intensiti latihan boleh dipertingkatkan.

4.Aktiviti Kegemaran
          Adalah lebih bermanfaat jika kita dapat melakukan aktiviti fizikal yang digemari seperti bermain badminton dan bola sepak. Walau bagaimanapun bukan permainan sahaja yang boleh ditakrifkan sebagai aktiviti fizikal. Aktiviti berkebun juga boleh digolongkan sebagai aktiviti fizikal. Aktiviti tersebut bukan sahaja memberi faedah kepada kesihatan fizikal  tetapi juga dari aspek lain seperti keceriaan, ekonomi dan sebagainya. Aktiviti yang digemari tidak akan membebankan seseorang itu untuk melakukannya berbanding aktiviti yang tidak digemari. Aktiviti kegemaran akan memungkinkan aktiviti tersebut akan dapat dilakukan lebih kerap ataupun berterusan.

5.Beri Galakkan Kepada Remaja Lakukan Aktiviti Fizikal
          Para remaja perlu diberi galakkan melakukan aktiviti fizikal. Ibu bapa perlu memberi galakkan sejak mereka kecil lagi. Kemudahan bagi para remaja beriadah perlu disediakan agar mereka lebih bermotivasi melakukan aktiviti fizikal. Ini adalah amat penting kerana budaya hidup remaja sekarang adalah lebih kepada cyber cafĂ© dan komputer yang tidak melibatkan pergerakan fizikal. Pihak-pihak tertentu seperti NGO dan badan sukarela yang lain boleh menganjurkan pertandingan sukan agar remaja lebih aktif melibatkan diri dalam aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal yang dilakukan atau menjadi rutin sejak zaman remaja akan dibawa apabila mereka berusia kelak. Ini akan menjadikan mereka lebih sihat dan cergas dari segi fizikal dan mental kerana aktiviti telah menjadi sebahagian budaya hidup mereka.

          Pelancaran larian 1Murid 1 Sukan yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini merupakan salah satu langkah Kementerian Pelajaran untuk memberi galakkan kepada kanak-kanak, remaja dan semua lapisan masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal. Kalau 20 tahun lalu padang bola sepak, gelanggang sepaktakraw dan gelanggang lain selalu dipenuhi oleh golongan remaja untuk bermain. Senario berkenaan sudah agak berkurangan pada masa sekarang. Itulah sebabnya konsep 1Murid 1Sukan diperkenalkan untuk melahirkan masyarakat
yang lebih sihat dari segi jasmani, rohani, mental dan intelek selaras dengan falsafah Pendidikan Negara yang ingin melahirkan insan yang seimbang.

No comments:

Post a Comment